Bahasa Melayu Di Jepun
Menurut Moriyama, orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut
Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini
jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah. Beliau mencatat hal
tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976),
seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di
negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau
kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang
Pasifik.
Esei
tersebut terbit dalam buku yang berjudul Lost Times and Untold Tales from
the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah
sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go
Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.
Seperti yang
dicatatkan oleh Moriyama: ‘Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana
digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan
Belanda.’ Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun.
Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: ‘Marilah kita pergi ke Selatan’.
Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada
tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.
Moriyama
menambah: ‘Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah
maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa
Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan
pelajaran. Sekurang-kurangnya lima orang guru Melayu datang dari Semenanjung
Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo.’
Lantas
disebut nama salah seorang dari mereka iaitu Bachee bin Wan Chik (atau Bachik
bin Wan Chik) yang kemudiannya menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun.
Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurniakan bintang kehormatan
kerana sumbangannya itu.
Antara buku
pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (Bahasa
Melayu Dalam Empat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia diulang cetak
hingga 30 kali. Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa
bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti
Tokyo.
Pelajaran
bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara
sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.
Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan
seperti alkisah, arakian, sa-bermula. Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28
mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles
Hendak Pulang dan Pantun Melayu.
Marquis
Tokugawa menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah
bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.
Pada 7
Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor
Bahru. Baginda menulis: ‘Sahabat saya Marquis Tokugawa.’ Selanjutnya pujian
dari baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Marquis
Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di
Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya
mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan
Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi
mereka lebih gemar menulis rumi.
Salam,
ReplyDeleteblog yang menarik..tahniah..jomlah follow dan komen blog saya pula.
http://hajahfaizah.blogspot.com
Cikgu best lagu chan malican
ReplyDeletebest nya nanti tambah lagi.
ReplyDelete